Words on wednesday. Jangan bazirkan fries McD anda.

Aku tidak tahu jika perkara ini berlaku di sekeliling anda atau hanya di bandar kelahiranku yang indah ini, Kota Kinabalu (KK).

Setiap kali aku pergi ke Centre Point (CP) dan makan di food court, pasti akan ada kelibat manusia bergerak dari satu meja ke meja yang lain. Ianya bukan waiter! Tapi seseorang yang memberikan sedikit 'buah tangan' kepada anda dengan balasan anda memberikan sedikit sumbangan kepada mereka.

Biar aku berterus terang, sepanjang aku jumpa orang-orang seperti ini, hanya beberapa kali sahaja aku bermurah hati dan masa-masa lainya aku melambaikan tangan untuk memberi maksud tidak berminat.

Balik-balik muka yang sama tiap kali datang food court CP. Aku tidak tahu berapakah mereka dapat dalam masa sebulan menjalankan aktiviti ini. Macam dah jadi kerja tetap pula. Aku tertanya-tanya, adalah mereka perlukan duit ini untuk menampung belanja makan harian atau digunakan untuk perkara lain? Kalau untuk makan, bolehlah aku bagi fries mcD ini.

Tadi aku pergi ke bandar dan sebagai seorang warga KK, lebih meriah untuk merayau di CP. Setelah penat dan lapar, aku pergi merehatkan diri di McD dan memesan double cheese burger satu set untuk dihadam dan sebagai alasan untuk duduk berehat.

Selepas beberapa ketika, muncullah orang yang aku cakapkan tadi. Orang yang sama, mondus operasi yang sama, dari meja ke meja, tapi ianya bukan waiter! Seperti biasa, bila dia dah dekat, aku hanya melambaikan tangan isyarat tidak berminat dan dia terus pergi ke meja seterusnya.

Sambil lepak dan selesai menelan burger, masih ada lagi fries yang tertinggal dan oleh kerana aku makan sambil minum, jadi aku cepat kenyang. Kalaulah aku boleh ikut sunnah Nabi, namun aku tidak boleh makan burger tanpa minum air, rasa tercekik dikala gigitan pertama.

Jadi aku biarkan dulu perut ini melakukan proses penghadaman sedikit demi sedikit sambil memerhati keadaan sekeliling dan mengharapkan akan ada ruang di dalam perut untuk menempatkan fries yang tertinggal ini nanti.

Beberapa minit kemudian, aku terlihat kelibat dua kanak-kanak perempuan dalam lingkungan umur 8 dan 10 tahun. Berpakaian lusuh, bergerak dari satu meja ke satu meja, tapi mereka bukannya waitress! Mereka menghulurkan tangan untuk meminta simpati, aku tidak cam wajah mereka seperti wajah manusia yang aku sebutkan tadi, inilah kali pertama aku jumpa sepanjang makan di kawasan ini.

Adakah aku akan sekali lagi lambaikan tangan untuk menyatakan tidak berminat? Tapi mereka bukannya menghulurkan sedikit 'buah tangan' untuk ditukarkan dengan seringgit lusuh dalam poket ini yang aku sediakan untuk tambang bas. Mereka menghulurkan tangan kosong!

Apabila kelibat dua budak ini sampai ke meja aku, dalam masa sesaat, aku ingin melambaikan tangan, tapi entah kenapa, seperti tiba-tiba tangan ini turun semula dan secara sendirinya mencapai fries tadi lalu memberikan kepada mereka berdua.

Mereka menerima fries tersebut dengan wajah terkejut, gembira dan terus beredar ke meja lain. Aku pun termenung dan berfikir, berapa banyakkah fries dan makanan yang telah aku bazirkan sebelum ini?

Aku harap, anda yang membaca entri ini, kalau mempunyai lebihan fries, jangan tinggalkan begitu sahaja. Ambilah, bungkuskan dan masukkan ke dalam beg plastik percuma yang boleh diminta daripada kaunter, tidak susah mana pun.

Mungkin di dalam perjalanan nanti, anda akan terjumpa orang yang memerlukannya. Mungkin kita terlalu malas dan leceh untuk menghulurkan duit, jadi berilah fries yang ada bersama anda. Semoga Allah akan membalas kebaikan anda.

+1 for restoring my faith in humanity!-via

2 comments:

  1. Selalu ada juga didatangi oleh beberapa budak-budak yang nampak comot minta kesian lagi-lagi kalau makan di McD CP tu.

    Kadang-kadang kesian sama dorang, lagi-lagi kalau nampak ada yang kena halau secara kasar.

    Kunjungi Orang Bukan Hantu

    ReplyDelete
  2. Ini lah mungkin makna kehdupan. Kita bertuah dapat rezeki...

    ReplyDelete